
Tarif vs. Cukai: Bagaimana Trump Memilih Jalan Alternatif untuk Menangani Ekonomi AS

1. Strategi Licik Tarif Donald Trump
Hari ini ramai orang ingat tarif yang dikenakan oleh Donald Trump hanyalah untuk melindungi ekonomi Amerika Syarikat. Tetapi realitinya, ada satu rahsia besar di sebalik strategi tarif ini yang tidak ramai tahu.
Sejak Trump memegang jawatan Presiden, beliau tidak banyak bercakap tentang keadaan hutang negara. Hakikatnya, Amerika Syarikat telah lama mengalami masalah hutang yang serius, lebih-lebih lagi selepas tahun 2000. Setakat tahun 2024, hutang terkumpul kerajaan AS telah mencecah USD35 trilion.
Indikator utama untuk menilai kesihatan kewangan negara adalah Debt to GDP Ratio. Apabila nisbah ini melebihi 100%, ia menandakan ekonomi tidak berada dalam keadaan sihat. Sekiranya situasi ini berlarutan, kredit rating bon kerajaan akan diturunkan, menyebabkan kos pinjaman kerajaan meningkat.
2. Bagaimana Trump Elak Kenaikan Cukai Tradisional?
Kalau kerajaan mahu tambah pendapatan, antara cara utama adalah dengan menaikkan cukai. Namun, menaikkan cukai secara langsung merupakan risiko politik yang besar – tidak ada rakyat yang suka cukai naik.
Trump mengambil pendekatan yang lebih bijak. Beliau memperkenalkan tarif ke atas import dari negara-negara seperti China, Mexico dan Kanada, dengan alasan untuk ‘melindungi ekonomi Amerika’.
Namun sebenarnya, tarif ini merupakan cukai tersembunyi. Ia tidak dikenakan terus kepada rakyat, tetapi akhirnya rakyat juga yang menanggung kenaikan harga barang import. Trump berjaya memperkenalkan sistem cukai baru tanpa menyebabkan kemarahan rakyatnya sendiri.
3. Anggaran Hasil Tarif & Siapa Yang Bayar?
Berikut adalah anggaran kasar hasil tarif ke atas tiga negara:
- Import dari Kanada: USD377 bilion × 25% = USD94.25 bilion
- Import dari Mexico: USD467 bilion × 25% = USD116.75 bilion
- Import dari China: USD401 bilion × 10% = USD40.1 bilion
Jumlah hasil: USD251.1 bilion
Persoalannya: siapa yang bayar jumlah ini? Jawapannya – rakyat Amerika sendiri melalui harga barang yang lebih mahal.
Jadi, kita dapat lihat bagaimana Trump berjaya menambah hasil kerajaan sebanyak beratus bilion dolar tanpa kelihatan seperti menaikkan cukai. Dalam masa yang sama, masalah utama iaitu hutang negara tidak ditangani secara langsung, sebaliknya dialihkan perhatian kepada ‘perjuangan ekonomi’ melawan negara luar.