
Ladang Ganja Terbakar, Satu Kampung Khayal Ketawa
PATTAYA: Sebuah ladang ganja di Pattaya, Thailand, dilaporkan terbakar pada 13 Februari 2025, menyebabkan penduduk setempat dan pelancong mengalami kesan khayal ketawa tidak terkawal akibat menghidu asap tebal dari kebakaran itu.
Menurut akhbar Thai Matichon, kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas di tingkat dua sebuah bangunan komersial empat tingkat yang digunakan untuk penanaman ganja. Perkhidmatan kecemasan, termasuk polis tempatan, pegawai bantuan bencana, dan penyelamat sukarela, segera dikerahkan ke lokasi kejadian.

Anggota bomba bertindak pantas dengan trak air bagi mengawal api daripada merebak ke bangunan lain. Namun, kejadian ini mencetuskan suasana luar biasa apabila penduduk tempatan dan pelancong didapati mengalami ketawa tidak terkawal selepas menghidu asap kebakaran tersebut.
Selain itu, sebilangan mereka juga melaporkan mengalami pening, mata merah, dan gejala lain yang dipercayai berpunca daripada terdedah terlalu lama kepada asap ganja terbakar. Keadaan kembali normal selepas beberapa jam.
Pemilik Ladang Ganja Sahkan Operasi Berlesen
Pemilik ladang tersebut, Kanchana, 40, menjelaskan bahawa ladangnya memiliki permit sah untuk penanaman ganja. Beliau mengesyaki kebakaran berpunca daripada litar pintas elektrik pada panel lampu penyiraman pokok, yang menyebabkan api merebak dengan cepat.
Beliau turut menganggarkan kerugian akibat kebakaran itu mencecah 200,000 baht (RM26,320).
Sumber: Astro Awani, Thai Matichon