
Simbah Anjing Dengan Air Panas: Pengurus KK Mart Dipecat
Pengurus Warga Bangladesh Simbah Air Panas Anjing Kesakitan Penuh Kejam Viral
Dalam insiden yang mengejutkan masyarakat, seorang pengurus dari KK Super Mart dipecat selepas video yang menunjukkan dia mencurahkan air panas ke atas anjing liar menjadi viral. Kejadian berlaku pada petang Jumaat 7 Mac 2025 di pasar raya tersebut yang terletak di Jalan Besar, Menglembu, Ipoh.
Video tersebut diambil dari rakaman CCTV dan dikongsi oleh aktivis haiwan, Siti Fauziah Jabbar, di laman Facebooknya dan juga di Instagram. Menerusi video, anjing itu dilihat sedang duduk di luar kedai apabila pengurus berkenaan yang berasal dari Bangladesh bertindak menganiayainya dengan air panas.
Siti Fauziah berkata, tindakan tersebut adalah sangat kejam dan tidak perlu. “Jika mereka tidak mahu anjing itu berada di situ, mereka boleh menghalau ia tanpa perlu melakukan kekejaman seperti itu,” katanya. Beliau segera melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa di Ibu Pejabat Polis Daerah Menglembu.
Anjing yang malang itu kini sedang dirawat di Faith Veterinary di Subang, Selangor, kerana mengalami luka bakar akibat insiden tersebut.
KK Super Mart dalam satu kenyataan di Facebook menyatakan bahawa mereka telah melakukan siasatan dalaman dan mengambil tindakan yang sesuai terhadap pegawai yang terlibat. “Pekerja yang bertanggungjawab telah dipanggil kembali ke ibu pejabat kami di Kuala Lumpur dengan segera. Selepas siasatan menyeluruh, kami telah menamatkan kontrak pekerja dengan serta-merta,” jelas mereka.
Kedai tersebut juga telah menghubungi pemilik pusat jagaan haiwan untuk menanggung sepenuhnya kos rawatan anjing berkenaan.
Pihak polis Ipoh, di bawah Ketua Polis Yang Bertindak Sajidan Abdul Sukor, memaklumkan bahawa satu kenyataan mengenai siasatan akan dikeluarkan tidak lama lagi.